Titik permulaan Tabung Haji bermula dengan niat suci iaitu ingin membantu masyarakat Islam Malaysia khasnya di kawasan luar bandar dalam menunaikan Rukun Islam yang kelima iaitu Mengerjakan Haji.
Cara masyarakat luar bandar dahulu yang menyimpan wang dan bergolok gadai untuk mengumpul wang sebagai perbelanjaan ke Tanah Suci Makkah mendesak penubuhan satu institusi yang terurus bagi membantu dan menguruskan proses menunaikan fardhu Haji.
Hasil penerimaan kertas kerja daripada Yang Mulia Prof. DiRaja Ungku Aziz yang bertajuk "Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal-bakal Haji" pada tahun 1959 telah mewujudkan Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji pada bulan November 1963 dan perbadanan ini telah mula beroperasi pada 30 September 1963.
Untuk mempertingkatkan lagi perkhidmatan dan kemudahan kepada bakal-bakal haji, pada tahun 1969, perbadanan tersebut telah dicantumkan dengan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji yang beroperasi di Pulau Pinang dan dengan itulah lahirnya Lembaga Urusan dan Tabung Haji atau secara ringkasnya LUTH yang telah ditubuhkan di bawah Akta 8, Akta Lembaga Tabung Urusan dan Tabung Haji 1969.
Pada 1 Jun 1995, akta baru Tabung Haji iaitu Akta 535, Akta Lembaga Tabung Haji 1995 telah dikuatkuasakan. Nama Lembaga Urusan dan Tabung Haji telah ditukarkan kepada Lembaga Tabung Haji pada 28 Ogos 1997 dan huruf TH diperkenalkan sebagai singkatan untuk institusi ini.
Logo TH yang condong ke sebelah kanan menggambarkan bahawa TH tidak statik malah positif dalam usaha-usaha ke arah pencapaian segala misi dan visi. Huruf (TA HA) adalah kependekkan perkataan Tabung Haji di dalam ejaan Jawi. Perkataan Tabung Haji dan logo ditimbulkan bagi melambangkan huruf-huruf identiti Tabung Haji. Bentuk segi empat logo ini melambangkan Kaabah yang menjadi arah tuju seluruh umat Islam di dunia. Warna HITAM menunjukkan warna Kaabah yang diliputi Kain Kiswa (Kelambu Kaabah), HIJAU dikenalpasti sebagai warna korporat TH dan PUTIH melambangkan kebersihan dalam Islam dan ianya menjadi asas dalam segala aktiviti TH.
Pada 30 September 2009, setelah 46 tahun menongkah segala arus pemodenan baik dari segi pentadbiran dan pengurusannya, TH telah memantapkan lagi penampilan logonya selaras dengan keadaan perniagaan semasa yang lebih kompetitif dan berkait rapat dengan pergerakan ekonomi global.
Dengan berbekalkan segala usaha-usaha yang begitu gigih dari pucuk pimpinannya dan juga anggotanya yang begitu komited, berdedikasi, inovatif dan cemerlang, Insya-Allah TH mampu mencapai wawasannya dengan jaya.